Thursday, February 22, 2018

BELANGKAS MASAK SAMBAL


BELANGKAS
Belangkas ialah sejenis haiwan yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar. Belangkas mudah ditangkap di tepi-tepi pantai kerana tidak menggigit.

Belangkas adalah dari famili Limulidae. Nama saintifik belangkas yang hidup di pinggir pantai ialah tachypleus gigas dan yang ditemui di kawasan paya ialah carcinoscorpius rotundicauda.
Haiwan ini merupakan artropod laut yang bentuk badannya mirip kepada 'ketopong besi' tentera dan juga mempunyai ekor yang panjang dan tajam. Ia boleh mencapai saiz sehingga 51 cm (20 inci). Mana-mana anggotanya yang putus boleh tumbuh semula dan ia juga mempunyai sistem keimunan yang menakjubkan.

Peribahasa dalam masyarakat Melayu iaitu 'macam belangkas' bermaksud lelaki dan perempuan yang bergerak bersama-sama ke mana-mana sahaja. Kita akan temui belangkas di laut cetek dalam keadaan berdua-dua iaitu seekor jantan dan seekor betina.

BELANGKAS MASAK SAMBAL


BAHAN BAHAN
1 ekor belangkas (siang dan basuh bersih)
2/3 cawan air asam jawa
1 ulas bawang besar dihiris kasar
2 cawan air
1 cawan minyak masak
garam, gula, serbuk perasa(jika mahu) secukup rasa

BAHAN DIKISAR HALUS
2 Ulas bawang besar
4 Ulas bawang putih
1 1/2 inci kunyit
1 1/2 inci halia
18 tangkai lada kering yg dibelah dan direndam air panas
1 inci belacan

PROSES PENYEDIAAN
Panaskan minyak masak dalam kuali. Goreng bawang besar yg dihiris kasar sehingga wangi.Angkat bawang tadi dan toskan dari minyak.

Tumis pula bahan kisar menggunakan minyak yang sama menggoreng bawang tadi.

Apabila bahan tumisan pecah minyak atau garing, masukkan air.Kacau rata.

Masukkan garam, gula dan bahan perasa (jika mahu) secukupnya. Kacau sebati.

Masukkan pula belangkas yang siap disiang dan dibersihkan. Gaul rata.Biar mendidih.

Letakkan air asam jawa.Kacau rata, perlahankan api.Tutup kuali dengan penutup.

Biar 5-7 minit sehingga belangkas masak. Taburkan bawang yang sudah digoreng tadi dan kaup balik sebentar. Matikan api, sedia dihidang.

No comments:

Post a Comment