Sunday, April 01, 2018

RESEPI AYAM MASAK KUNYIT (RESIPI KEDAYAN)

Bangsa Kedayan merupakan salah satu bangsa yang menetap di Kepulauan Borneo. Dipercayai berasal dari Brunei dan berhijrah ke Sabah, Sarawak dan Labuan. Di Miri Sarawak, kebanyakan bangsa Kedayan menetap di daerah Bekenu. Selain itu, bangsa Kedayan juga boleh ditemui di daerah Limbang dan Lawas, Sarawak; Sipitang dan Kuala Penyu, Sabah; dan Labuan. Bahasa yang digunakan ialah Bahasa Kedayan ("bahasa de facto" Brunei).

Sebahagian kaum Kedayan di Labuan bukannya orang pantai, dan cenderung menetap di kawasan pedalaman. Manakala sebahagian yang lain lagi menetap berhampiran pantai. Rumah-rumah di kampung dibina agak dekat antara satu sama lain, mengikut pola kelompok, dengan taman-taman bercabang. Kaum Kedayan-Brunei menjadi penduduk majoriti dan memegang kuasa politik di pulau bebas cukai itu.

Dari sudut makanan pula,tradisi berzaman masyarakat Kedayan ialah masakan Daging Rebus Kedayan, Ayam masak Kedayan, Pais ikan, Salai Berubut, Sambal Tahai, Tarap muda masak lemak, Nasi Kebuli, dan banyak lagi. Masakan-masakan ini merupakan masakan asli dan agak berbeza daripada masakan masyarakat Melayu yang lain walaupun ianya menggunakan bahan dan resepi yang hampir serupa. Selain itu terdapat juga masakan dari tumbuhan hutan yang dimasak seperti humbut hanibung (umbut nibung) atau humbut piasau(kelapa) yang disapak (digaul) dengan ikan masin begitu menyelerakan semasa makan tangah hari.Begitu juga halnya dengan kuih-kuih tradisional orang Kedayan lebih popular dengan bingka dadak kubal chacha, gatas, wajik, kuripit ubi kayu, kelupis, pinyaram, kuih cincin, bahaulu, sasagun, dan jelurut.

RESEPI AYAM MASAK KUNYIT (RESIPI KEDAYAN)
BAHAN-BAHAN A
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 1/2 inci halia

BAHAN-BAHAN B
1 ekor ayam (dipotong kecil)
2 sudu makan cili yang dikisar (kalau nak pedas lagi, boleh tambah)
Sedikit belacan
1 sudu teh serbuk kunyit
2 batang serai
1/2 cawan air asam jawa atau 3 keping asam kulit (ikut suka rasa)
Santan (1 biji kelapa)
Garam secukup rasa
Minyak makan
Air

PROSES PENYEDIAAN
Tumis Bahan A. Kemudian bubuh cili kisar dan sedikit belacan. Masukkan serbuk kunyit dan serai. Tumis kesemua bahan sehingga naik bau.

Masukkan sedikit air, ayam dan asam jawa atau asam keping. Masukkan santan dan air. Masakkan sehingga mendidih. Kemudian masukkan perasa. Hidangkan dengan nasi putih.

No comments:

Post a Comment