Thursday, December 21, 2017

RESEPI IKAN HARUAN GORENG BERLADA

Ikan Haruan ialah sejenis ikan air tawar jenis karnivor. Ia merupakan spesies asli hutan hujan tropika boleh hidup dalam air payau dan biasa didapati di negara-negara rantau Asia Tenggara. Ia terbahagi kepada dua jenis iaitu bersaiz besar dinamakan Ikan Toman (Channa melanostoma) dan yang kecil ikan haruan (Channa striatus).

Terdapat 30 spesies ikan haruan di dunia dengan lapan jenis terdapat di Sarawak, dua di Sabah dan empat di Semenanjung Malaysia. Ikan Toman, Bujuk dan Haruan adalah dalam satu keluarga tetapi berlainan spesies.

Ikan Haruan dewasa menunjukkan perlakuan monogami selain mempunyai daya penguasaan wilayah yang cukup kukuh. Ikan Haruan boleh hidup dalam air yang bertakung, bergerak perlahan, cetek dan berlumpur. Bagaimanapun, kebiasaannya Haruan boleh didapati di kolam, sungai, tasik, terusan pertanian, sawah dan muara sungai. Berat kebiasaannya ikan Haruan hanyalah sekitar satu kilogram.

RESEPI IKAN HARUAN GORENG BERLADA
BAHAN BAHAN
1 Ekor ikan haruan saiz 1kg.
4 Ulas bawang putih-ditumbuk.
2 Biji bawang besar-ditumbuk.
5 Biji cili merah-ditumbuk.
5 Biji cili padi- ditumbuk (tambah jika nak pedas)
Sedikit air asam jawa.
Gula.
Garam.
Minyak masak.
Serbuk Kunyit.

PROSES MASAK
Gaulkan ikan dengan garam dan sebuk kunyit. Biar seketika kemudian goreng ikan tersebut sehingga garing. Dah siap angkat dah toskan minyaknya. Susun dalam pinggan.

Bawang putih, bawang besar, cili merah dan cili padi ditumbuk. Jika nak kisar pun boleh. Ikut mana yang selesa. Panaskan minyak dan tumis bahan yang ditumbuk tadi sehingga masak. Lada sebaiknya dimasak lama sikit nak elak daripada sakit perut.

Setelah itu, masukkan air asam jawa. Jangan masuk banyak, takut rasa masam lebih nanti. Kemudian, masukkan garam dan gula. Bila semua bahan tadi sekata tutup api. Tuangkan sambal tersebut ke atas ikan yang telah digoreng tadi. Siap untuk dihidangkan.


No comments:

Post a Comment